Kepada ayahanda dan bonda yang aku cintai, sayangi dan kasihi,
Pertama sekali anakmu ini ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada kalian berdua. Kalau kalian tiada di dunia ini, anakmu ini juga tidak berkesempatan untuk melihat dunia ciptaan Tuhan ini. Terima kasih kerana bersusah-payah bertungkus-lumus siang dan malam mencari rezeki untuk kami adik-beradik hidup cukup dengan segala-galanya. Tidak membiarkan kami lapar tidak cukup makanan. Tidak membiarkan kami kekurangan walau apa pun harta benda.
Secara peribadi dari anakmu ini, maaf dan ampun diminta kerana kekasaran bahasa pada kalian berdua, tidak mendengar kata, tidak patuh, degil dan macam-macam lagilah yang sewaktu dengannya. Anakmu tahu, sejahat-jahat mana pun anakmu ini, kalian berdua tidak pernah membuang kami sebagai anak kalian. Seteruk mana pun apa yang anakmu telah lakukan anakmu ini tahu kalian berdua cukup sayang akan kami. Tidak ingin kami hidup tidak tentu arah dan merana.
Untuk aku sendiri, sememangnya aku adalah satu-satunya anak harapan anda berdua kerana abang-abang yang lain sudah ada hala tujuan dan kehidupan masing-masing. Hanya aku sahaja yang tinggal. Maaf diucapkan sekali lagi. Aku tahu harapan kalian sungguh tinggi melebihi gunung everest tapi aku tak cukup kuat untuk itu semua. Tapi aku akan pastikan aku akan capaikan harapan kalian walaupun terpaksa mengambil masa yang lama.
Secara jujur, aku tidak suka dengan desakan, paksaan yang melebihi kemampuan aku. Aku selalu memberontak dalam diam. Menangis dalam hati. Dalam diam aku sudah tidak ingin tinggal di rumah ini. Sebab itulah aku ambil keputusan untuk belajar jauh-jauh. Jauh dari rumah. Tidak mahu tahu apapun masalah di rumah ini.
Apapun, terima kasih kerana tidak mengongkong kehidupan aku walaupun satu masa dahulu aku pernah menyoal soalan yang sangat bodoh iaitu 'adakah betul aku anak kalian berdua?' kerana pengabaian kalian berdua terhadap aku sejak dari kecil lagi. Tapi memang segala sesuatu yang terjadi ada hikmahnya. Jika kalian tidak membiarkan aku berdikari sejak kecil lagi, aku tidak akan menjadi seperti sekarang.
Terima kasih sekali lagi. Halalkan makan minum anakmu sepanjang hayat ini.
Dari anakmu,
umi.
No comments:
Post a Comment